10 Mac 2017 - 19:22
CIMB Arah Staf Berjaga-Jaga ‘Serangan’ Korea Utara

Bimbang dengan kemungkinan serangan siber susulan ketegangan politik dengan Korea Utara, CIMB Bank mengarahkan semua kakitangannya mempertingkatkan langkah keselamatan di semua rangkaian IT bank itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bimbang dengan kemungkinan serangan siber susulan ketegangan politik dengan Korea Utara, CIMB Bank mengarahkan semua kakitangannya mempertingkatkan langkah keselamatan di semua rangkaian IT bank itu.

Laman berita niaga Nikkei Asian Review memetik nota dalaman bank itu mengarahkan staf lebih cermat dan mematuhi 7 amalan terbaik, termasuk tidak membuka emel yang mengandungi fail meragukan.

“Kami sentiasa berwaspada dalam memastikan negara selamat dalam apa jua keadaan, termasuk ini,” Nikkei turut memetik seorang jurucakap polis.

Hubungan Korea Utara dan Malaysia di tahap paling rendah sejak 4 dekad kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik.

Ia susulan kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, pada bulan lalu. Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur enggan bekerjasama dengan polis Malaysia dalam siasatan insiden serangan ke atas Jong Nam di klia2, Sepang pada 13 Feb, sementara Pyongyang menolak dakwaan ia terlibat dalam pembunuhannya.

Minggu ini, duta kedua-dua negara dibawa pulang, disusuli dengan langkah Korea Utara menghalang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu. Semalam, 2 daripada mereka dibenarkan pulang, di sebalik rundingan peringkat kerajaan.

Hari ini, Bernama melaporkan mengenai pakar teknologi maklumat (IT) dari Korea Utara yang berselindung di sebalik kerjaya IT di Cyberjaya, untuk memudahkan mereka mengumpul maklumat dan data secara dalaman.

“Kehadiran mereka di Malaysia sambil ditaja syarikat tempatan, bukan setakat untuk bekerja tetapi juga menjadi perisik terlatih,” lapornya memetik sumber.